PASIR MAS – Lebih 20 keluarga di Kampung Perol Lubok Tegayong, di sini terpaksa mengharungi kehidupan seharian dalam keadaan serba kepayahan apabila perlu melalui jalan yang tidak berturap sejak 30 tahun lalu.
Keadaan laluan itu lebih berbahaya semasa hujan apabila jalan berbatu sepanjang lima kilometer itu dipenuhi lopak dan lubang yang menyukarkan perjalanan penduduk sama ada bermotosikal atau berkereta.
Penduduk mendakwa, masalah yang berlarutan sejak 30 tahun lalu itu tidak pernah selesai meskipun mereka difahamkan projek menurap jalan telah diluluskan baru-baru ini.
Wakil penduduk Kampung Perol Lubok Tegayong, Idris Jusoh, 65, berkata, penantian selama tiga dekad untuk menikmati kemudahan jalan berturap cukup memeritkan apabila mereka seakan tidak percaya boleh bersabar selama tempoh itu.
“Saya merayu kepada wakil rakyat untuk menyelesaikan segera masalah ini secepat mungkin. Jalan ini merupakan laluan utama penduduk keluar membeli barangan keperluan mereka di bandar Pasir Mas.
“Sampai bila kami perlu menangung derita ini dan penduduk di sini berhak untuk merasai nikmat pembangunan. Saya yang mengalami patah tulang belakang akibat kemalangan pasti akan mengalami sakit anggota badan apabila menaiki kereta melalui jalan ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, selain jalan berbatu, laluan masuk ke kampung itu juga tidak dilengkapi kemudahan lampu jalan.
Seorang lagi penduduk, Che Deraman Daud, 62, berkata, penduduk kampung pernah berpakat mengumpul dana bagi membaiki jalan tersebut dengan menambun batu sebelum ini.
“Inisiatif secara bergotong-royong itu bagi memastikan penduduk dapat menggunakan jalan itu dalam keadaan lebih selesa walaupun tetap ada kekurangan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan masalah itu berada dalam pengetahuan pihaknya.
“Masalah itu telah dibawa ke pengetahuan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas. Jika tiada masalah, jalan itu akan diturap dalam masa terdekat,” katanya.