KUALA LUMPUR – Wisma Bintara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Padang Tembak di sini bakal menyediakan penginapan bertaraf hotel untuk Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) ATM yang belum berumah tangga atau tinggal berjauhan dari keluarga.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, PTTK ATM di Kementerian Pertahanan (Mindef) hanya perlu membayar sebanyak RM50 sebulan untuk penginapan tersebut berserta makan dan minum disediakan.
“Pembinaan wisma setaraf hotel ini menyediakan 200 bilik penginapan yang selesa untuk kemudahan bintara ATM. Ia turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk surau, dewan banquet, gelanggang sukan, gimnasium dan lain-lain.
“Saya percaya kewujudan Wisma Bintara ATM mampu meningkatkan moral dan menjadi pemangkin kepada lonjakan profesionalisme ATM sebagai benteng utama pertahanan negara. Ini juga komitmen ATM menjaga kebajikan warganya,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Wisma Bintara ATM yang terletak berhampiran Mindef di sini hari ini. – K! ONLINE