TANJUNG MALIM -Seorang wanita pengsan dipercayai sesak nafas dalam kejadian kebakaran bilik tidur di sebuah rumah di Taman Bernam Baru di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang berusia 23 tahun pengsan setelah terhidu asap tebal tilam terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Mohd. Zairul Fahmi Mohd. Nazari berkata, pemeriksaan awal mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat satu dan mangsa dijumpai terbaring tidak sedarkan diri atas lantai.
“Ketika pasukan tiba, kebakaran di dalam bilik mangsa telah dipadamkan oleh bapa wanita itu menggunakan air.
“Anggota mengalami kesukaran untuk masuk ke dalam bilik itu disebabkan pintu terhalang dengan katil dan almari pakaian hingga menyebabkan kita terpaksa memecahkan pintu bilik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zairul Fahmi, sebaik ditemui, wanita itu terus diberikan bantuan pernafasan sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Malim. -K! ONLINE