fbpx

Walk-in dos penggalak bermula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Bermula esok, perkhidmatan vaksinasi dos penggalak secara walk-in kepada penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas dilaksanakan di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bagi PPV Pengamal Perubatan Swasta, individu dimohon untuk menghubungi klinik swasta yang terlibat bagi menentukan masa sesuai untuk mendapatkan vaksinasi dos penggalak.

“Ini bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi pada setiap masa, mengambil kira ruang yang terhad di klinik swasta.

“Senarai PPV GP dan PPV Offsite boleh disemak di laman web ProtectHealth iaitu www.protecthealth.com.my yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jenis vaksin yang diberikan terhad kepada bekalan di setiap PPV manakala, individu yang ingin hadir secara walk-in dimohon agar mempunyai sijil vaksinasi digital lengkap di dalam MySejahtera bagi melancarkan proses vaksinasi.

“Untuk individu yang tidak mempunyai sijil vaksinasi digital kerana tidak mempunyai telefon pintar, sila bawa bersama kad vaksinasi fizikal ke PPV,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan mobiliti penduduk di dalam negara akan meningkat dan lebih banyak aktiviti sosial atau perkumpulan keluarga memandangkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Sehubungan itu, KKM amat mengalakkan semua penduduk di Malaysia yang telah layak untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti, terutamanya warga emas, individu dengan komorbiditi, ibu mengandung, anak-anak kecil dan mereka yang tidak layak divaksinasi kerana masalah kesihatan,” katanya.

Ujarnya lagi, setakat semalam seramai 11,531,403 atau 49.3 peratus penduduk Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Tambah beliau, KKM akan mempertingkatkan lagi kapasiti dan kadar pemberian dos penggalak bagi memastikan lebih ramai penduduk di Malaysia mendapat perlindungan imuniti yang optimum berikutan trend peningkatan kes dan kluster Covid-19 sejak kebelakangan ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI