SELEPAS meledak dengan judul-judul seperti Paskal, Wira dan Pasal Kau, pengarah filem aksi terkenal tempatan, Adrian Teh sekali lagi bakal muncul dengan sebuah naskhah dramatik berjudul The Assistant.
The Assistant yang bakal menemui penonton pada 10 Mac 2022 juga menjadi filem aksi tempatan pertama yang akan ditayangkan di pawagam sejak pembukaan semula panggung wayang sekitar September tahun lalu.
Karya sentuhan Adrian tersebut juga merupakan hasil gabungan pertama Act 2 Picture dengan studio Hollywood yang dijangka bakal memberi kesan ‘membara’ ke jiwa penonton.
Selesa bekerjasama dengan aktor aksi terkenal, Hairul Azreen untuk kali kelima, The Assistant yang menelan belanja sebanyak RM6 juta turut menampilkan beberapa nama hebat lain seperti pelakon dan juga aktivis teater, Iedil Dzuhrie, Henley Hii dan Farali Khan.
Mengisahkan Zafik lakonan Iedil Dzuhrie, lelaki yang terpaksa meringkuk dalam penjara atas kesalahan yang bukan dilakukannya.
Selepas hilang segala-galanya, Zafik kemudiannya bertemu dengan Feroz lakonan Hairul Azreen yang sering muncul pada waktu tepat.
“Sepanjang perkenalan mereka berdua, berlaku pelbagai konflik dan pertarungan hebat sehingga ada pertumpahan darah.
“Adakah Zafik berjaya merungkai motif sebenar Feroz?” ujar Adrian sewaktu ditemui pada sidang media pelancaran The Assistant di GSC The Starling Mall baru-baru ini.
Pengarah Urusan Sony Picture Entertainment Malaysia, Simon Foo yang turut hadir mengakui, amat meminati dan berbangga dengan karya sentuhan Adrian.
Adrian disifatkan berjaya membawa sebuah filem penuh aksi seperti The Assistant untuk ditonton peminat filem bergenre sebegitu di Malaysia.
“Sejujurnya kami Sony Pictures Entertainment Malaysia amat berbangga dapat membawakan sebuah filem penuh aksi ini menemui peminat di seluruh Malaysia.
“Kami menghargai peranan yang dimainkan penggiat filem tempatan dalam usaha memperkasakan industri perfileman tempatan,” katanya.
Pada masa sama, Simon berharap penonton tempatan dapat sama-sama mengangkat karya anak Malaysia dalam usaha untuk memartabatkan industri perfileman tanah air.
“The Assistant adalah contoh, apa yang harus ada pada setiap karya filem. Filem ini dihasilkan dengan idea yang boleh menarik minat penonton tempatan.
“Tanpa rasa sangsi, saya boleh katakan, The Assistant adalah sebuah filem wajib tonton untuk mereka yang meminati naskah bergenre aksi,” kata Simon.