NAMA penyanyi Adami Hairi mungkin masih lagi asing dan bukannya siapa-siapa dalam arena industri muzik tanah air.
Apatah lagi untuk mendengarkan suaranya menyanyi di corong-corong radio. Ada, cuma mungkin kurang diberi perhatian.
Ironi, anak jati kelahiran Jasin, Melaka itu pernah mempunyai dua buah single yang dikeluarkan masing-masing pada 2019 dan tahun lalu.
Walaupun kurang menempa populariti sebaris dengan penyanyi-penyanyi yang lain, Adami bersyukur sekurang-kurangnya dia masih mempunyai kelompok peminat tersendiri yang menyukai suara dan lagunya.
Kata Adami, sebelum bergelar artis rakaman bawah label RS Production, dia aktif menyertai pelbagai pertandingan nyanyian di merata-rata tempat.
“Saya sebenarnya aktif masuk pertandingan nyanyian antaranya ialah pertandingan Radio Klasik RTM pada 2017.
“Selain itu saya juga banyak menghasilkan video ‘cover’ menyanyikan lagu artis-artis lain dan memuat naik video tersebut dalam laman sosial,” katanya.
Ujar pemuda berusia 31 tahun itu, bakatnya kemudian dihidu komposer, Rosli Aman atau mesra disapa Cikgu Rosli yang akhirnya membuka ruang untuk dirinya menjadi seorang artis rakaman.
“Menerusi Cikgu Rosli, saya hadir dengan single pertama berjudul Forte pada 2019. Forte dalam bahasa Itali bermaksud kuat.
“Jadi lagu ini menceritakan tentang perjalanan saya untuk bergelar seorang penyanyi sehingga terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan kegagalan,” jelasnya.
Kata Adami yang juga merupakan seorang penjawat awam di Pejabat Kesihatan Daerah Jasin berkata, ada dalam kalangan rakan-rakannya pernah mempertikaikan kebolehannya untuk menjadi seorang penyanyi.
“Biasalah kalau masuk pertandingan. Ada masa menang dan kalah. Selain itu, ada juga dalam kalangan kawan-kawan yang mempertikaikan bakat nyanyian saya.
“Jadi lagu Forte ini dicipta oleh Cikgu Rosli memang khas untuk saya dengan berkonsepkan rentak pop Latin,” jelasnya.
Selera pendengar
Pada awalnya, Forte dibuat mengikut kesesuaian rentak balada. Bagaimanapun, cerita Adami, komposer itu berpendapat nada dan ton suaranya lebih sesuai untuk menyanyikan lagu berentak rancak.
“Genre pop Latin bukanlah terlalu asing di Malaysia. Sebelum ini pun ada beberapa penyanyi pernah menghasilkan rentak lagu sebegitu.
“Untuk disesuaikan dengan kehendak dan selesa pendengar hari ini, melodi lagu Forte dihasilkan mengikut selesa semasa pendengar. Alhamdulillah, lagu ini mendapat sambutan yang baik dan sering diputarkan di corong-corong radio,” katanya yang juga berkebolehan menyanyikan lagu-lagu berentak Irama Malaysia.
Pada tahun lalu, Adami tampil dengan single keduanya berjudul Legato yang juga dihasilkan sepenuhnya oleh Cikgu Rosli.
Berbeza dengan single sulungnya, Legato dihasilkan dengan rentak pop R&B mengikut selera pendengar yang lebih selesa mendengar lagu bergenre sebegitu.
Sedar dirinya bukan sesiapa, lelaki itu berharap kehadirannya dalam mewarnai industri muzik tempatan mendapat tempat sekali gus memberinya peluang mengukir nama.
“Saya tahu persaingan untuk menjadi penyanyi sangat sengit. Setiap hari ada sahaja wajah-wajah baharu yang muncul dalam industri.
“Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi. Cuma saya mengharapkan pendengar yang setia dengan saya dari dahulu boleh menerima genre muzik yang saya bawakan,” ujarnya.