fbpx

PKPD di Felda Chemomoi selepas 45 pelajar positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian guru dan pelajar SK Felda Chemomoi yang diangkut dengan bas ke beberapa pusat kuarantin. /FOTO MEDIA SOSIAL

PUTRAJAYA – Jangkitan Covid-19 melibatkan 45 pelajar telah menyebabkan Felda Chemomoi di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 tengah malam tadi.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad, sekatan bersasar itu meliputi skim tanah persekutuan tersebut di Mukim Sabai dalam Daerah Bentong.

Lebih menyedihkan, seramai tujuh guru di Sekolah Kebangsaan Felda Chemomoi turut disahkan positif wabak Covid-19 sekali gus membentuk kluster pendidikan baharu yang diumumkan kelmarin.

Sekolah rendah yang dibuka sejak 1972 itu dan beberapa buah lagi institusi pendidikan yang terletak berhampiran turut ditutup sementara oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Bentong.

Berdasarkan rekod Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, secara kemulatif 121 kes telah direkodkan di lokaliti itu yang mengandungi sebanyak 700 rumah peneroka dengan lebih 3,000 penduduk.

Jangkitan agak tinggi di kawasan itu menyaksikan dua buah bas persiaran dan sejumlah van dikerah bagi membawa pesakit menjalani pengasingan di pelbagai pusat kuarantin ditetapkan.

Ketika ini, sudah terdapat empat kluster pendidikan di daerah tersebut dengan keseluruhan 261 kes, manakala satu kluster kumpulan berisiko tinggi pula telah merekodkan sejumlah 25 kes.

Semalam sahaja, sebanyak 105 kes baharu pandemik tersebut telah pun direkodkan di Bentong, angka paling tinggi berbanding 11 daerah lain di Pahang dengan kumulatifnya 11,275 kes. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI