TAIPING – Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan Jabatan Penjara mewujudkan jawatankuasa khas untuk meningkatkan ilmu keusahawanan dalam kalangan kakitangan penjara di Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, usaha itu bagi membantu pegawai dan kakitangan penjara melatih banduan untuk menjadi usahawan.
“Kita mahukan agar banduan yang mendapat tunjuk ajar ini akan mendapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari seterusnya menjadi seorang usahawan bila dibebaskan nanti.
“Ini dapat mengubah lanskap kehidupan mereka dengan menjadi usahawan setelah pulang ke pangkuan masyarakat.” katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Pembangunan Budaya Inovatif dan Penjanaan Usahawan Warga Penjara Negeri Perak di Pusat Latihan Pegawai Penjara Malaysia di sini.
Menurutnya, STeP diberi tanggungjawab untuk mengalakkan lebih ramai terlibat dalam bidang keusahawanan ini selain daripada golongan belia.
“Banduan juga perlu diberi perhatian wajar, perlu dididik dan diasuh untuk menjadi seorang usahawan dan jangan dipinggirkan mereka.
“Walaupun sebelum ini terdapat pelbagai program yang dianjurkan di penjara untuk para banduan namun kini kita mahukan ianya dikembangkan lagi bentuknya ke arah dalam bidang keusahawanan,” ujarnya. – K! ONLINE