SEREMBAN – Lima wanita warga asing ditahan dalam Op Gegar di sebuah hotel di bandar ini, kelmarin.
Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kang berkata, serbuan pada pukul 3.30 petang itu adalah hasil aduan dan pemeriksaan dilakukan terhadap bilik-bilik yang disyaki dihuni warga asing.
Katanya, seramai lima warga Thailand ditahan kerana dipercayai melakukan kegiatan tidak bermoral termasuk pelacuran dan tinggal di negara ini tanpa pas yang sah.
“Semakan mendapati, warga asing itu menyediakan pakej perkhidmatan seks 30 minit sehingga 12 jam dengan bayaran RM168 hingga RM670.
“Kesemua urusan tempahan dilakukan menerusi aplikasi Wechat, WhatsApp dan Telegram. Ketika serbuan, terdapat pelanggan yang cuba lari ke atas siling.
“Bagaimanapun, cubaan tersebut berjaya dipatahkan dan mereka ditahan. Turut dijumpai sejumlah kondom, cecair pelincir serta wang dipercayai hasil kegiatan pelacuran,” ujarnya.
Menurutnya, dua warga asing ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala tiga individu lagi di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Pelanggan pula diberikan notis untuk hadir memberi keterangan. -K! ONLINE