KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low buat pertama kalinya tampil mendakwa dirinya tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang memberinya kuasa mengawal syarikat itu dan empat anak syarikatnya.
Menurut Jho Low, beliau bukan pengarah, pemegang saham apatah lagi pemegang amanah atau mempunyai sebarang kewajipan fidusiari dalam syarikat pelaburan strategik negara dan anak syarikatnya.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh dalam pernyataan pembelaannya, Jho Low selaku defendan pertama menyatakan, tuntutan plaintif adalah berdasarkan dakwaan yang dinyatakan dalam tuntutan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, menurutnya, pemfailan DoJ adalah tindakan pelucuthakkan sivil yang mana mahkamah tidak membuat apa-apa keputusan berkenaan kebersalahan, liabiliti atau salah laku terhadapnya.
Menurut Jho Low, saman 1MDB yang dikemukakan kepadanya adalah tidak wajar kerana DoJ telah pun mencapai ‘persetujuan global dan komprehensif’ dengannya berhubung saman sivil jabatan tersebut.
Ujar Jho Low, penyelesaian komprehensif di antaranya dan DoJ membawa kepada pelucutan dan pemulangan aset secara sukarela untuk kepentingan utama Kerajaan Malaysia dan juga untuk kepentingan plaintif.
Justeru itu, ahli perniagaan tersebut menegaskan tuntutan saman terhadapnya harus ditolak kerana ia gagal mendedahkan kausa tindakan yang munasabah terhadapnya.
Jho Low menyatakan demikian dalam pernyataan pembelaan yang difailkan berhubung kes saman AS$3.78 bilion yang dikemukakan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya (plaintif-plaintif) terhadap ahli perniagaan itu dan lima defendan lain.
Defendan-defendan itu ialah bapa dan ibunya, Low Hock Peng dan Goh Gaik Ewe, kakak Jho Low, May Lin, adik lelakinya, Taek Szen dan individu yang didakwa rakan sekutunya, Eric Tan Kim Loong.
Pernyataan pembelaan itu difailkan peguam Jho Low dari firma guaman Valen, Oh & Partners memfailkan pernyataan pembelaan itu di Mahkamah Tinggi di sini, dua hari lalu.
Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap keenam-enam defendan.
Berdasarkan writ saman, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Eric Tan serta AS$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.
1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Eric Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Eric Tan.
Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin dan Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Gaik Ewe, Jho Low dan Eric Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Eric Tan, Hock Peng dan Taek Szen. – K! ONLINE