AMSTERDAM – Pemain antarabangsa Denmark, Christian Eriksen kembali ke pangkuan bekas kelabnya, Ajax Amsterdam untuk menjalani sesi latihan buat sementara waktu sebelum mendapat menyertai pasukan baharu pada jendela perpindahan kali ini.
Sebagai rekod, Eriksen sebelum ini telah mengalami serangan jantung ketika mewakili negaranya pada Kejohanan Euro 2020 tahun lalu sehingga menyaksikan kontraknya bersama kelab gergasi Serie A, Inter Milan ditamatkan pada Disember lepas.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ajax, Eriksen dibenarkan untuk bersama pasukan remaja untuk sesi latihan kompetitif pada minggu ini bagi mendapatkan kecergasan sebelum menyertai pasukan baharu nanti.
Sementara itu, Eriksen pula mengakui sangat terharu dengan peluang yang diberikan oleh Ajax untuk memberi ruang buatnya kembali mendapatkan momentum dengan sesi latihan penuh walaupun hanya diserapkan dalam skuad simpanan.
“Saya sangat gembira untuk kembali ke Ajax kerana ini adalah tempat saya memulakan karier dan sudah tentu cukup teruja dapat bertemu semula barisan kejurulatihan dan pegawai yang saya kenali sebelum ini.
“Peluang untuk menggunakan fasiliti di sini tidak akan disia-siakan kerana saya mahu membuktikan masih boleh beraksi di peringkat tertinggi dan berharap dapat menyertai mana-mana pasukan sebelum jendela perpindahan ditutup nanti,” katanya.
Eriksen yang kini berusia 30 tahun merupakan pemain yang lahir daripada akademi Ajax bermula 2008 sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur pada 2013. – AGENSI