YAOUNDE, CAMEROON – Equatorial Guinea meneruskan status mereka sebagai ‘pembunuh gergasi’ selepas layak ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) apabila mengetepikan Mali 6-5 menerusi sepakan penalti, awal pagi semalam.
Penentuan penalti terpaksa dilakukan selepas kedua-dua pasukan gagal menghasilkan sebarang jaringan dalam tempoh 120 minit permainan dan Equatorial Guinea bakal berdepan satu lagi tugas sukar apabila dijadualkan bertemu naib juara dua kali, Senegal.
Penjaga gol berusia 20 tahun, Jesus Owono muncul wira Equatorial Guinea selepas tampil cemerlang termasuk menyelamatkan penalti terakhir Mali yang diambil oleh Falaye Sacko.
Pada perlawanan itu, Mali diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk layak apabila mendominasi dan mencipta banyak peluang, namun ia gagal disudahkan dengan baik.
“Ia menjadi detik bersejarah buat kami untuk melangkah sejauh ini dan ia hasil kerja keras daripada pemain saya,” kata pengendali Equatorial Guinea, Juan Micha.
Sementara itu, pengendali Mali, Mohamed Magassouba tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dan menyifatkan pasukannya lebih berhak untuk mara lebih jauh pada kempen kali ini.
Sebelum ini, Equatorial Guinea turut menewaskan juara bertahan, Algeria dan Sierra Leone dalam saingan peringkat Kumpulan E. – AGENSI