WASHINGTON – Lelaki terkaya dunia, Elon Musk, menawarkan wang sebanyak AS$5,000 (RM20,945) kepada seorang pelajar sekiranya dia memadamkan satu aplikasi bot yang berupaya menjejaki pesawat peribadi miliknya, lapor akhbar Daily Star semalam.
Jack Sweeney, 19, yang merupakan pelajar tahun pertama Universiti Florida Tengah boleh memberitahu lokasi sebenar pesawat peribadi Musk pada bila-bila masa menggunakan perisian tersebut.
Dia membina aplikasi itu yang berupaya menjejaki pergerakan pesawat peribadi Musk termasuk aktiviti mendarat dan berlepas. Bot itu juga berupaya menjejaki beberapa pesawat berkepentingan yang lain.
Ekoran itu, pengasas Tesla itu telah menawarkan wang tunai AS$5,000 (RM20,945) untuk memadam bot tersebut.
Sweeney bagaimanapun membida jumlah tersebut agar dinaikkan pada nilai lebih tinggi.
“Bolehkah sekiranya jumlah tawaran dinaikkan kepada AS$50,000 (RM209,451)? Ia dapat membantu saya dalam urusan kolej atau mungkin anda boleh memberikan saya sebuah kereta (Tesla) Model 3,” katanya sebagai membalas tawaran Musk.
Menurut Musk, aktiviti menjejaki pesawat peribadi itu boleh mendatangkan bahaya kepada dirinya dan beliau telah berulang kali meminta Sweeney untuk memadam bot tersebut.
Bagaimanapun, pelajar yang licik itu meminta agar Musk menyediakan tempat buatnya untuk menjalani latihan industri di salah sebuah syarikat milik bilionair itu.
“Saya memahami pandangan anda. Namun, saya berharap agar anda boleh melihat minat dan kesungguhan saya kerana saya telah menghasilkan bot ini sejak di bangku sekolah menengah.
“Pilihan-pilihan selain wang ringgit seperti penempatan latihan industri akan menjadikan proses memadam perisian tersebut lebih mudah,” kata Sweeney.
Ekoran aktiviti tersebut, Musk dilaporkan membiarkan pesawat peribadinya untuk terbang ke pelbagai destinasi tanpa menaiki penerbangan tersebut. – AGENSI