Adakah berdoa supaya Allah mendatangkan perkara buruk seperti kemalangan kepada orang yang menzalimi atau menganiayai kita dibolehkan dalam Islam?
JAWAPAN
Jika seseorang ingin memaafkan pihak yang menzaliminya, itu merupakan sesuatu yang baik.
Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w “Sedekah tidak akan mengurangkan harta, Allah akan tambah kemuliaan untuk seseorang hamba disebabkan kemaafannya dan tiada seorang
pun yang bertawaduk kerana Allah melainkan Allah akan mengangkatnya,” (Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya).
Namun, jika seseorang ingin mendoakan agar Allah mengambil tindakan ke atas orang yang menzaliminya, maka itu dibolehkan jika benar dia dizalimi.
Ini kerana terdapat banyak riwayat yang mengizinkan hal ini.
Antaranya, sabda Nabi s.a.w“Takutlah kamu doa orang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang),” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Ahmad, Baginda bersabda: “Doa orang yang dizalimi mustajab, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya,”
(hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Dalam riwayat Ahmad yang lain: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini
dinilai hasan oleh al-Albani).
Riwayat al-Imam Muslim, seorang sahabat besar Nabi s.a.w iaitu Sa’id bin Zaid telah berdoa agar Allah mengambil tindakan kepada Arwa binti Aus yang memfitnah beliau
mengambil tanahnya. Sa’id bin Zaid berdoa dengan menyebut: “Ya Allah! Jika dia seorang pendusta maka butakanlah matanya dan bunuhlah dia dalam tanahnya.”
Maka Arwa pada akhir hayatnya buta mata dan ketika berjalan terjatuh dalam lubang di tanahnya dan meninggal dunia.
Dalam riwayat al-Bukhari pula, sahabat Nabi yang terkenal Sa’d bin Abi Waqqas telah mendoakan ke atas orang Usamah bin Qatadah yang menuduhnya secara dusta. Doa Sa’d
bin Abi Waqqas seperti berikut: “Demi Allah aku akan berdoa dengan tiga perkara: “Ya Allah! Jika hambaMu ini (penuduh) seorang pendusta,
tampil untuk menunjuk-nunjuk maka panjangkan umurnya, panjangnya kefakirannya dan dedahkan dia kepada fitnah.”
Maka lelaki itu hidup dalam kefakiran hingga umur terlalu lanjut, tetapi masih mengganggu gadis di jalanan dan cuba meraba mereka.
Doa-doa di atas jika kita lihat, tidaklah terus meminta bala kepada Muslim yang dianggap zalim itu, sebaliknya diikat dengan ungkapan:
“Ya Allah, jika dia ini berdusta maka…”, atau mungkin kita sebut: “Jika dia telah menzalimiku, maka…”
Ini kerana kita mungkin tersalah anggap, atau silap tafsiran. Maka, wajarlah berlapik kata dalam hal ini dan serahkan kepada Allah Yang Maha Mengetahui.