SEJAK berlaku krisis perang saudara bermula pada lewat 1960-an sehingga sekitar 1990-an menyebabkan banyak periuk api ditanam di seluruh Kemboja.
Setelah peperangan berakhir, kerajaan negara itu bergelut untuk membersihkan semua periuk api atau jerangkap samar yang ada.
Dalam usaha membersihkan bahan letupan tersebut, seekor tikus gergasi yang diberi nama Magawa telah memainkan peranan yang cukup besar.
Magawa berkhidmat sebagai tikus pengesan periuk api di negara berkenaan selama lima tahun.
Jasa haiwan kecil itu terhadap kehidupan dan keselamatan penduduk tempatan tidak terbalas.
Namun kini, Magawa yang dianggap ‘wira’ dan mendapat jolokan HeroRAT untuk Kemboja telah mati pada usia lapan tahun.
“Dengan berat hati kami berkongsi berita sedih bahawa HeroRAT Magawa telah mati.
“Magawa berada dalam kesihatan yang baik sebelum ini dan menghabiskan sebahagian besar harinya dengan bersemangat seperti biasa.
“Tetapi menjelang hujung minggu, Magawa lebih banyak tidur siang dan kurang berminat terhadap makanan yang diberikan pada hari-hari terakhirnya,” jelas jurucakap Apopo, sebuah organisasi sukarela berpangkalan di Belgium yang melatih tikus itu untuk mengesan periuk api.
Tambahnya, Magawa baru sahaja bersara Jun tahun lalu dan menyambut hari lahirnya yang ke lapan pada November lepas.
Apopo turut merasai kehilangan Magawa dan mereka amat berterima kasih atas kerja-kerja luar biasa yang dilakukan oleh haiwan itu.
Menurutnya, semasa hayatnya, Magawa telah menemui lebih 100 periuk api dan bahan letupan lain dan itu menjadikannya HeroRAT mereka yang paling berjaya setakat ini.
“Sumbangan haiwan ini membolehkan masyarakat di Kemboja tinggal, bekerja dan bermain tanpa rasa takut kehilangan nyawa atau anggota badan mereka.
“Tahun lepas apabila Magawa bersara, HeroRAT Ronin telah mengambil tugas itu,” jelasnya.
Tambahnya, setiap penemuan bahan letupan oleh tikus yang telah dilatih dapat mengurangkan risiko kecederaan atau kematian bagi penduduk Kemboja.
Dalam pada itu, Magawa ialah tikus gergasi Afrika yang dilahirkan di Universiti Pertanian Sokoine (SUA), Tanzania pada November 2013.
Sejak tahun 2000, Apopo telah membangunkan ibu pejabat operasi, pusat latihan dan pembiakan di SUA.
Di situ, semua tikus pengesan periuk api dilahirkan dan dilatih cara mencari bahan letupan menggunakan deria baunya yang menakjubkan.
Apopo menjelaskan, lebih 60 juta orang yang tinggal di 59 negara yang pernah berhadapan dengan konflik peperangan berisiko dengan periuk api.
Menurutnya, membersihkan kawasan periuk api adalah kerja yang sangat sukar, berbahaya dan memerlukan ketepatan masa.
“Di sinilah sistem pengesanan haiwan yang telah dibangunkan oleh Apopo membantu mengatasi masalah ini.
“Magawa telah meninggalkan legasi yang berkekalan sebagai tikus pengesan periuk api di Kemboja,” katanya.
Magawa telah dihantar ke Siem Reap, Kemboja pada 2016 untuk memulakan kerjanya.
Sepanjang di Kemboja, Magawa telah membersihkan lebih daripada 225,000 meter persegi tanah dengan mengesan sebanyak 71 periuk api dan 38 bahan peledak yang tidak meletup di negara itu.
Tikus itu telah dilatih untuk menyelamatkan nyawa manusia dengan memberi isyarat terhadap lokasi-lokasi sebenar periuk api serta bahan api tidak meletup agar dapat dihapuskan oleh petugas manusia.
Selepas berkhidmat di Kemboja selama lima tahun, Magawa telah bersara daripada tugasnya itu pada tahun lalu.
Apopo menegaskan, Magawa telah menjadi semakin letih dan perkara terbaik adalah dengan merehatkannya dan tikus itu boleh meluangkan masa melakukan perkara yang disukainya seperti makan pisang dan kekacang.
“Walaupun Magawa masih sihat, ia telah mencapai usia persaraan dan ketangkasannya semakin terbatas. Kini telah tiba masa untuk haiwan ini bersara,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelatih Magawa, Malen berkata, prestasi kerja tikus gergasi itu sememangnya menakjubkan.
“Ia mungkin kecil, namun Magawa telah menyelamatkan banyak nyawa serta membolehkan manusia hidup dengan selamat dengan kos yang efektif.
“Bagaimanapun, ia semakin letih dan kita perlu menghormati kehendaknya. Saya pasti merindui ketika bekerja dengannya,” jelas Malen.
Dalam pada itu, pada 2020, Magawa telah dianugerahkan Pingat Emas Dispensari Rakyat untuk Haiwan Sakit (PDSA) daripada badan amal veterinar United Kingdom.
Anugerah itu disampaikan atas sumbangan haiwan tersebut menyelamatkan nyawa manusia dengan bertugas di lokasi pembersihan periuk api.
Daripada 30 haiwan penerima anugerah itu, Magawa adalah tikus pertama yang mendapat anugerah terbabit.
Pada pingat itu ditulis perkataan ‘Untuk keberanian haiwan atau pengabadian kepada tugas’.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Apopo, Christophe Cox berkata, pingat yang diberikan kepada Magawa adalah satu penghormatan kepada pihaknya.
“Penghargaan ini amat besar untuk penduduk di Kemboja dan semua orang di seluruh dunia yang menderita akibat periuk api,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah PDSA, Jan McLoughlin berkata, Magawa telah melakukan kerjanya dengan begitu cemerlang.
“Kerja yang dilakukan Magawa secara langsung telah menyelamat dan mengubah kehidupan mereka yang terjejas kerana periuk api.
“Setiap penemuan periuk api olehnya telah mengurangkan risiko kecederaan atau kematian penduduk,” katanya.
Magawa mempunyai berat 1.2 kilogram (kg) dan panjangnya 70 sentimeter.
Walaupun saiznya jauh lebih besar daripada spesies tikus lain, Magawa masih cukup kecil dan ringan sehingga tidak dapat mencetuskan letupan jika berjalan di atas bahan letupan.
Tikus itu dilatih untuk mengesan sebatian kimia dalam bahan letupan dan boleh mencari periuk api dengan cepat.
Sebaik menemui bahan letupan, ia akan mencakar bahagian atas untuk memaklumkan kepada rakan sekerja manusianya.
Magawa mampu mencari periuk api di padang sebesar gelanggang tenis dalam masa 20 minit sahaja.