KOTA BHARU – Pokok-pokok balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) di Kelantan ditebang kurang daripada Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang telah ditetapkan sejak enam tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK), Abdul Khalim Abu Samah berkata, jabatan itu komited untuk memastikan semua kawasan HSK di Kelantan diurus sepenuhnya di bawah amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).
Menurut beliau, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pada 2016 hingga 2020 menetapkan CTT di Kelantan sebanyak 5,417 hektar manakala RMK-12 yang bermula pada tahun lalu menetapkan sebanyak 3,900 hektar.
Berita berkaitan: Tiada keperluan henti pembalakan di Kelantan
Meskipun CTT sepanjang RMK-11 ditetapkan 5,417 hektar, masih banyak baki kawasan yang tidak ditebang melibatkan hutan pengeluaran sepanjang lima tahun itu.
“Pada 2016, hanya 2,624,12 hektar dilesenkan atau 48.46 peratus daripada CTT ditetapkan diikuti 3,100.3 hektar atau 57.23 peratus (2017), 3,147.7 hektar atau 58.11 peratus (2018), 1,385 hektar atau 25.57 peratus (2019) dan 2,324.82 hektar atau 42.92 peratus (2020).
“Pada tahun lalu, hanya 1,277 hektar kawasan dilesenkan untuk pembalakan atau 32.74 peratus daripada CTT yang ditetapkan iaitu 3,900 hektar setahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, peraturan CTT bertujuan untuk mengimbangi jumlah pengeluaran dan penghasilan kayu dengan keupayaan serta keluasan hutan pengeluaran dalam HSK. -K! ONLINE