KUALA PILAH – Seorang ibu tunggal bersama dua rakan dijatuhi hukuman penjara 14 bulan atas kesalahan menggunakan wang palsu di lima premis perniagaan di daerah Jempol serta Tampin dekat sini, tiga minggu lalu.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Md. Ross Louis Hisham Louis, 46, Nurul Ain Atiqah Kardi, 24, dan Nurul Najwa Zulkifli, 21, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara tersebut berjalan bermula daripada tarikh ketiga-tiga tertuduh ditangkap.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh bersama-sama pada pukul 4 petang, 7 Januari lalu bertempat di Kedai Bonnie Family Store, Bahau telah menggunakan sekeping wang palsu RM100 sebagai tulen
Tertuduh turut melakukan kesalahan sama di kedai serbaneka 7 Eleven, ALG Bundle Empire, Kedai Kasut Jan di Dataran Satria serta kedai serbaneka 7 Eleven Pekan Gemas pada 11 Januari lalu.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta denda.
Md Ross Louis dalam rayuannya memohon agar hukuman dikurangkan kerana menjaga ibu yang sakit, manakala Nurul Ain pula merayu kerana dia berstatus ibu tunggal dan mempunyai dua anak yang masih kecil.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh disebabkan kesalahan itu membabitkan kepentingan awam dan digunakan berurusan pembelian barangan yang boleh mendatangkan kerugian kepada pihak ketiga.
Kosmo Online pada 13 Januari lalu melaporkan tiga individu dicekup polis setelah menggunakan wang palsu di lima lokasi di sekitar Negeri Sembilan. -K! ONLINE