KUALA SELANGOR – Cubaan 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke negara ini pada tengah malam gagal apabila dicekup pihak berkuasa di pesisir pantai Bagan Pasir, di sini hari ini.
Penahanan itu dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih yang mengesan semua warga asing berkenaan kira-kira pukul 12.10 tengah malam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintendan Rizal Mohamed berkata, perkara itu dihidu ketika pihaknya menjalankan rutin rondaan dan pemantauan di sekitar perairan tersebut.
Katanya, warga asing itu dipercayai masuk menerusi laluan laut yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot.
“Mereka yang terdiri daripada 40 lelaki dan 10 wanita itu dipercayai baru tiba di negara ini.
“Hasil siasatan mendapati kesemua individu berusia 16 hingga 51 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Rizal, semua PATI itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63. -K!ONLINE