fbpx

Zii Jia, Jin Wei dibenar sertai kejohanan antarabangsa – BAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI (dua dari kanan) berbual dengan Zii Jia (dua dari kiri) dan Jin We (kiri) sambil diperhatikan oleh Norza di Putra Perdana tengah hari tadi.

SELEPAS membuat rayuan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kini perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia serta bekas perseorangan wanita, Goh Jin Wei bebas untuk menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa.

Badan induk sukan badminton negara mengambil keputusan untuk membenarkan dua pemain tersebut menyertai mana-mana kejohanan berkuat kuasa serta-merta selepas mempertimbangkan rayuan yang dibuat.

Menerusi keputusan tersebut, Zii Jia dan Jin Wei kini tidak lagi terikat dengan BAM dan mereka bebas untuk meneruskan karier masing-masing selepas ini sebagai pemain profesional.

“BAM bersetuju untuk membenarkan Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei untuk menyertai semua kejohanan antarabangsa. Persatuan sudah membuat pertimbangan berhubung rayuan yang dibuat mengikut prosedur rasmi.

“Keputusan dibuat dengan melepaskan mereka berdua daripada kontrak sedia ada bersama BAM berdasarkan terma dan syarat menerusi persetujuan bersama,” kata BAM menerusi satu kenyataan sebentar tadi.

Keputusan itu juga sudah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Penaung BAM, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin menerusi Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

“BAM mahu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan Penaung kerana prihatin serta mengambil berat berhubung perkara ini. Kedua-dua pemain tersebut kini layak untuk mendaftar dalam mana-mana kejohanan.

“BAM ingin berterima kasih kepada Zii Jia dan Jin Wei atas dedikasi serta komitmen yang ditunjukkan kepada negara. Semoga mereka mencapai kejayaan pada masa hadapan,” ujarnya.

Sebagai rekod, badan induk sukan badminton negara itu membuat keputusan tidak mendaftarkan dua pemain berkenaan dalam sebarang kejohanan selama dua tahun kerana mahu meninggalkan BAM dan bergerak secara profesional.

Bagaimanapun, tindakan tersebut nyata memakan diri apabila BAM dikritik hebat oleh peminat sukan tanah air selain mendapat perhatian pemain-pemain badminton antarabangsa.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI