PETALING JAYA – UDA Holdings Berhad (UDA) menyasarkan lonjakan bagi perniagaan di wilayah selatan menerusi pelancaran projek hartanah baharu dan pelbagai inisiatif terkini di pusat beli-belah.
Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pada tahun ini, UDA di wilayah selatan akan melancarkan dua projek hartanah baharunya iaitu Pisonia Ville dan Areca Terrace.
“Kumpulan akan terus mengorak langkah dalam merancang pelan terbaik bagi memajukan perniagaan di wilayah selatan terutama sekali dari segi hartanah serta pusat beli-belah dalam merealisasikan hasrat untuk menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd. Salem Kailany menjelaskan, perniagaan hartanah di negeri Johor sentiasa menitikberatkan keperluan pelanggan dan pihaknya yakin terhadap yakin permintaan rumah teres dua tingkat menjadi tumpuan.
Jelas beliau, pada pertengahan tahun ini, Kumpulan bercadang menawarkan 225 unit kediaman teres 2 tingkat menerusi pelancaran Pisonia Ville Pakej 2 (53 unit) dan Areca Terrace (172 unit).
“Pisonia Ville Pakej 2 dan Areca Terrace bakal dibangunkan di Bandar UDA Utama berstatus pegangan kekal. Perbandaran berkeluasan 188 hektar itu terletak di lokasi strategik bersebelahan Tol Perling dan dikelilingi taman perumahan yang matang.
“Ia turut berdekatan dengan pelbagai kemudahan serta akses mudah ke pusat beli-belah, pasar raya, bank dan sekolah,” terangnya.
Selain itu, Mohd. Salem menjelaskan, perniagaan di Angsana Johor Bahru Mall terus utuh melihat pada kadar penghunian yang melebihi 90 peratus pada tahun lalu.
Tambah beliau, UDA optimis dalam memastikan kompleks tersebut terus menerima aliran pengunjung yang tinggi, popular serta terus unggul sebagai destinasi beli-belah utama di selatan tanah air khususnya di Johor Bahru.
“Kumpulan turut memperuntukkan sebanyak RM3 juta setahun menerusi Program Insentif Usahawan UDA bertujuan menggalakkan usahawan baru untuk berniaga di kompleks beli-belah milik UDA.
“Selain itu, ia turut membantu kelangsungan perniagaan pada waktu pandemik dan telah memanfaatkan usahawan di Angsana Johor Bahru Mall,” ujarnya.
Bagi merancakkan aktiviti dan perniagaan di pusat beli-belah tersebut, Angsana Johor Bahru Mall bakal menganjurkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang tahun seperti sukan pemotoran Go-Kart, Angsana Food Trucks Centre, Nursery & Landscaping dan Car Boot Sales’.
Sementara itu, UDA juga memperkenalkan MARI Mart bertujuan membantu usahawan tempatan khususnya Perusahawan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk memasarkan produk jualan mereka.
MARI Mart yang pertama telah dibuka pada Oktober tahun lalu di Angsana Ipoh Mall yang juga salah sebuah pusat beli-belah di bawah seliaan UDA. UDA menyasarkan untuk membuka dua lagi MARI Mart dalam tahun ini bagi memperkasa aktiviti keusahawanan tempatan.