fbpx

‘Rakam video pelaku buang sampah di Taman Sri Muda’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja pembersihan mengutip sampah di dalam longkang di Taman Sri Muda, Shah Alam baru-baru ini.

SHAH ALAM – Sikap sambil lewa penduduk terutama dalam kalangan warga asing yang membanjiri Taman Sri Muda di sini yang sesuka hati membuang sampah menyebabkan longkang sering tersumbat.

Sehubungan itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor mahu orang ramai merakam video aksi pelaku terbabit dan menghantar kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya kerap membersihkan sampah di kawasan itu, namun sikap penduduk warga asing yang duduk beramai-ramai di dalam sebuah rumah dan sesuka hati membuang sampah membuatkan saliran longkang laluan tersekat di Taman Sri Muda, sekali gus menyebabkan air melimpah.

“Kami tak mampu lihat setiap jam ada sampah lagi atau tidak kerana jumlah kakitangan tak cukup. Tidak adil jika menyalahkan sepenuhnya kepada kami.

“Umpama orang yang membersihkan kena marah, orang yang buang sampah duduk ‘rileks’, sebab itu mereka tidak kisah.

“Memang kutipan sampah kita akan selalu buat, namun kita harap orang ramai juga memainkan peranan dalam mencegah pembuangan sampah. Kalau ada, laporkan kepada kami termasuk rakam pelaku terbabit menggunakan video,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Berita berkaitan: Longkang tersumbat punca limpahan air di Sri Muda

Kosmo! semalam melaporkan, emosi penduduk Taman Sri Muda sekali lagi diuji de­ngan kejadian limpahan air yang berpunca daripada longkang tersumbat dalam kejadian pada Isnin lalu.

Kejadian yang berlaku di Jalan Tokoh 25/28 berhampiran loji kumbahan itu turut membuatkan penduduk panik sehingga sukar untuk tidur. Lebih menyedihkan, ada penduduk yang terpaksa menelan pil untuk menenangkan perasaan.

Sementara itu, Zamani memberitahu, pasca pembersihan dan pemulihan termasuk kutipan sampah serta pembaikan longkang di sekitar daerah ini dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM93 juta.

Kata beliau, pihaknya telah mengenal pasti longkang yang telah pecah akibat banjir dan pembaikan akan turut dilakukan dengan bantuan peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Sekarang ini, apabila hujan kita akan melihat longkang-longkang bagi memastikan tiada yang tersumbat bagi mengelakkan berlakunya banjir.

“Ada longkang yang baharu dibuat sebelum ini pecah akibat banjir termasuk di Taman Sri Muda dengan kos pembaikan dianggarkan menelan perbelanjaan sehingga RM1 juta,” ujarnya.

Justeru, pihaknya akan menyelesaikan segala aspek baik pulih termasuk longkang.

Dalam kejadian banjir di Taman Sri Muda pada akhir tahun lalu, kawasan itu antara lokasi paling teruk terjejas di Selangor sehingga mengorbankan ramai mangsa selain menjejaskan kehidupan ribuan penduduk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI