fbpx

Raja Ilya desak doktor palsu ditangkap, dihukum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAJA ILYA

PETALING JAYA – Pelakon Raja Ilya meluahkan rasa marah berhubung kes seorang lelaki ditemui mati selepas membuat rawatan kecantikan membesarkan punggung dalam kejadian yang berlaku di sebuah bilik hotel di Perak, kelmarin.

Raja Ilya atau nama lengkapnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 36, marah dan kesal apabila terdapat lambakan ‘doktor palsu’ yang berani menawarkan rawatan kecantikan kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Raya Ilya menggesa supaya pihak berkuasa segera bertindak ke atas individu yang menawarkan rawatan kecantikan tidak bertauliah agar mereka ditangkap dan diberikan hukuman.

“Serius rasa geram baca berita begini. Ramai doktor palsu di luar sana yakin sangat, berani mati buat prosedur rawatan estetik tanpa lesen atau ‘lesen bawah meja’ (secara tidak sah).

“Ini masanya tindakan tegas diambil atas kesalahan yang tidak boleh diterima sehingga menyebabkan kesan sampingan, kecederaan dan kematian,” tulisnya.

Pelakon yang kini menetap di Australia itu turut berkongsi pengalaman sama selepas melakukan rawatan kecantikan dengan seorang pakar kecantikan tidak bertauliah sehingga perlu menanggung kesan sampingannya.

“Ini bukan kali pertama pesakit meninggal. Saya juga pernah menjadi mangsa dan perlu menanggung kesan sampingan akibat seorang perempuan yang menipu sebagai doktor.

“Dia lakukan prosedur ‘buruk’ ini kepada saya dan terus hilang, ghaib entah ke mana,” kata Raja Ilya.

Ujar pelakon filem KL Vampires itu, doktor palsu yang melakukan rawatan kecantikan itu menggunakan bahan yang tidak mendapat kelulusan oleh badan kesihatan sekali gus memberi kesan kepada mangsa.

Sehubungan itu, Raja Ilya menggesa pihak berwajib supaya menjalankan siasatan dan menangkap individu yang menawarkan rawatan kecantikan tanpa tauliah itu supaya dihukum dengan hukuman setimpal.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki berperwatakan lembut ditemui mati di sebuah bilik hotel di Perak selepas mendapatkan suntikan membesarkan otot punggung.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditemukan terbaring di atas katil dan tidak bernafas oleh rakannya sekitar pukul 3 petang.

Berdasarkan maklumat awal, si mati mendapatkan suntikan tersebut daripada seorang wanita yang juga peniaga kosmetik dari Melaka dengan kos satu suntikan berjumlah RM500. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI