JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi setiap parti komponen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, Amanah dan PKR bakal bertanding 20 kerusi masing-masing manakala DAP akan bertanding 16 kerusi.
Menurut beliau, kesepakatan itu telah dicapai Majlis Presiden PH dalam mesyuarat yang diadakan, kelmarin.
“Berhubung soal pengagihan kerusi bagi PRN Johor, kita sudah capai persetujuan dimana PKR akan bertanding 20 kerusi, Amanah 20 kerusi manakala DAP 16 kerusi.
“Namun dalam masa sama, kita juga masih membuka ruang perbincangan bersama mana-mana parti lain sekiranya mereka mahu menjalin kerjasama bersama PH dalam PRN Johor ini.
“Jika dengan penyertaan mereka boleh meningkatkan lagi peluang kemenangan kepada PH, ketiga-tiga pucuk pimpinan parti akan mengadakan perbincangan secara bersama,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Permas Jaya, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan. -K! ONLINE