MELBOURNE – Bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal terpaksa mengabaikan sakit perut yang dialaminya ketika berjuang untuk merebut slot ke peringkat separuh akhir Terbuka Australia semalam.
Pada saingan tersebut, Nadal memperagakan semangat juang tinggi selepas mengetepikan pemain tenis Kanada, Denis Shapovalov dengan kemenangan 6-3, 6-4, 4-6, 3-6, 6-3.
Bagaimanapun, pada set keempat, Nadal sedikit cemas apabila mula bergelut dengan masalah kesihatan sebelum keluar untuk mendapatkan rawatan bagi melihat keadaannya.
Nadal yang juga juara Terbuka Australia 2009 diarah untuk mengambil ubatan bagi merawat kesakitan tersebut sebelum meneruskan perlawanan semula.
“Saya mula berasa tidak sedap badan terutama bahagian perut. Saya bertanya kepada mereka adakah sesuatu dapat dilakukan untuk mengatasinya.
“Mereka melakukan pemeriksaan dan kemudian saya mengambil beberapa ubat bagi mengurangkan kesakitan yang saya alami. Saya benar-benar bertuah kerana tampil lebih baik pada set kelima,” katanya.
Kesakitan yang dialami Nadal bukan kali pertama berlaku kerana pada 2019, pemain berusia 35 tahun berdepan situasi yang sama sebelum mara ke pusingan keempat Terbuka Paris 2019.
Selepas ini, Nadal akan berdepan Matteo Berrettini di separuh akhir selepas pilihan ketujuh dari Itali berjaya menumpaskan Gael Monfils sekali gus dilihat berpeluang untuk memburu gelaran Grand Slam ke-21. – AGENSI