fbpx

MSDN jamin ketersediaan data negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) diharap dapat memberikan impak positif seperti menjamin ketersediaan data yang lebih holistik dalam merangka dasar jangka pendek dan panjang negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MSDN akan bertindak sebagai badan penasihat tertinggi dalam memberi panduan dan hala tuju bagi mengukuhkan tadbir urus sistem statistik negara.

“Menerusi menyuarat pertama di Putrajaya hari ini, MSDN telah membuat beberapa keputusan antaranya adalah memperkasakan Jabatan Perangkaan (DOSM) sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik.

“Chief Data Officer (CDO) juga akan dilantik melalui penugasan semula tugas pegawai sedia ada di setiap kementerian, jabatan atau agensi persekutuan dan negeri bermula tahun 2022
secara berperingkat serta pelaksanaan rancangan tindakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara. ,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, data merupakan aset negara yang perlu diurus dengan baik agar dapat
memberi pulangan besar kepada negara dalam bentuk maklumat yang boleh memberi garis pandu ke arah pencapaian matlamat dasar dan wawasan negara.

“Kepelbagaian maklumat di peringkat nasional amat kritikal untuk diselaraskan. Krisis kesihatan dan bencana alam yang melanda negara turut menuntut kepada keperluan ketersediaan data yang lebih komprehensif, kejat dan bersepadu.

“Ia akan menerajui usaha menyelaras maklumat peringkat tertinggi negara di antara pihak kerajaan dan swasta, penyaluran data terkini dan mengharmonikan proses kerja statistik,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, barisan kepemimpinan MSDN dianggotai menteri-menteri Kabinet berkaitan, ahli akademik, wakil sektor awam, sektor swasta dan industri serta DOSM yang bertindak sebagai Sekretariat.

“Sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara turut ditubuhkan untuk memacu kolaborasi antara kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda yang berpandukan hala tuju MSDN,” jelas beliau.

Tambahnya, empat kluster telah dikenal pasti sebagai komponen penggerak di bawah Jawatankuasa Eksekutif adalah seperti Kluster Ekonomi, Pertanian dan Perindustrian yang dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Kluster Pendidikan, Sosial dan Kependudukan dipengerusikan KSU Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kluster Kesejahteraan, Keselamatan dan Kesihatan dipengerusikan KSU Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kluster Infrastruktur, Teknologi dan Alam Sekitar dipengerusikan
KSU Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Jawatankuasa Eksekutif ini berperanan mengenal pasti dan menentukan keutamaan bagi memenuhi keperluan pengukuhan sistem statistik negara selain menyelaras keperluan teknikal, pungutan serta penyebaran statistik,” ujarnya.

Ismail Sabri berkata, perkongsian data sedia ada (data pentadbiran) daripada kementerian, agensi awam dan swasta ini dapat digunakan dengan cekap ke arah penghasilan output statistik rasmi berimpak tinggi dalam merealisasikan agenda yang berpandukan hala tuju MSDN.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI