MELAKA – Sebanyak 120,000 buah kenderaan dijangka masuk ke negeri ini bermula esok sempena cuti umum Tahun Baharu Cina pada 1 Februari ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, susulan itu, satu jawatan kuasa khas bertindak ditubuhkan untuk memantau 12 lokasi berisiko kemalangan di seluruh negeri ini.
Katanya, pasukan itu juga bertanggungjawab untuk memastikan aliran trafik berjalan lancar demi memastikan keselesaan pengguna jalan raya.
“Kita menjangkakan sebanyak 120,000 kenderaan akan masuk ke negeri ini dalam tempoh tiga hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
“Melihat jumlah tinggi kemasukan, kita telah wujudkan task force untuk memantau lalu lintas 12 lokasi berisiko kemalangan iaitu lima di Melaka Tengah, Jasin (tiga) dan Alor Gajah (empat),” katanya selepas merasmikan pelancaran Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina di pejabatnya di sini, hari ini. -K! ONLINE