BAFOUSSAM – Penyerang prolifik Senegal, Sadio Mane dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas mengalami pelanggaran kepala yang serius ketika menentang Cape Verde di Stade Omnisports de Bafoussam awal pagi semalam.
Mane berada dalam kelas tersendiri buat Senegal apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-63 dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) itu.
Bagaimanapun, Mane terpaksa dikeluarkan tujuh minit kemudian selepas dilaporkan masih merasai gegaran ekoran pelanggaran kepala dengan Vozinha yang menyebabkan penjaga gol Cape Verde itu dilayangkan kad merah pada minit ke-57.
“Semuanya dalam keadaan baik. Terima kasih untuk kata-kata semangat daripada anda semua,” kata Mane selepas berkongsi gambarnya di hospital dalam laman sosial Instagram miliknya semalam.
Kapten Senegal, Kalidou Koulibaly juga tampil menjelaskan bahawa bintang Liverpool itu dijangka boleh diturunkan untuk aksi suku akhir menentang Mali atau Equatorial Guinea pada Ahad ini.
“Walaupun Mane perlu melakukan beberapa ujian tetapi dia diberitahu keadaannya berada pada tahap yang bagus.
“Pada awalnya dia tidak mahu dikeluarkan tetapi kami enggan mengambil risiko dan tetap mengeluarkannya. Dia adalah watak penting buat pasukan ini,” jelasnya. – AGENSI