JAKARTA – Seorang lelaki di Bali, Indonesia tergamak memalsukan surat kematian isterinya semata-mata kerana dia mahu berpoligami, lapor portal berita Suara.com semalam.
Lelaki bernama Suraji, 56, itu dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Negeri Denpasar, manakala rakan subahanyat, Abdul Munir pula dikenakan penjara enam bulan.
Isteri Suraji, Diah Suartini memberitahu, dia hadir ke pejabat agama untuk mengesahkan perkahwinannya bersama suaminya selepas lelaki itu mengaku berkahwin lain dengan wanita bernama Hernanik.
“Saya pergi ke pejabat agama kerana saya hairan bagaimana suami boleh berkahwin lain sedangkan saya tidak memberi izin.
“Apabila diperiksa, rupanya nama saya telah ditulis sebagai meninggal dunia,” kata Diah.
Tambah Diah, sejak Suraji berkahwin baharu, kebajikan dia dan anak-anak sering terabai.
“Saya sakit hati. Dia menipu mengatakan saya sudah meninggal dunia sejak 2016 demi berkahwin baharu.
“Kami sudah bersama selama 33 tahun selepas berkahwin pada 1 Ogos 1989,” ujarnya. – Agensi