fbpx

Krisis telur ayam, bisnes makanan kini terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja Restoran G’Sinar di Johor Bahru menunjukkan bekalan telur yang ada di restoran itu semalam.

PETALING JAYA – Krisis bekalan telur ayam di seluruh negara memberi tekanan kepada peniaga makanan kecil-kecilan terutamanya penjual nasi lemak dan char kuetiau apabila terpaksa mencatu jualan mereka.

Situasi itu ekoran ketiadaan stok bahan asas itu selain berdepan tindakan segelintir pengusaha kedai runcit yang mengehadkan jualan telur ayam kepada dua papan seorang.

Rata-rata mereka yang ditemui mendakwa perkara tersebut berlaku sejak minggu lalu sehingga terpaksa pergi ke beberapa premis demi mendapatkan bekalan barangan keperluan itu.

Bukan setakat itu, ada juga dalam kalangan peniaga yang pernah terputus stok telur ayam selama dua hari disebabkan pemborong tidak dapat menghantar bekalan seperti biasa.

Seorang peniaga nasi lemak di Teluk Kumbar, George Town Norita Ismail, 54, berkata, peniaga kedai runcit mula memberi bayangan akan berlaku krisis te­lur ayam dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, katanya, mereka terpaksa mengehadkan penjualan telur ayam kepada pelanggan bagi membolehkan semua pihak mendapat bekalan bahan asas itu.

“Saya hanya boleh beli dua papan sahaja telur setiap hari biarpun merupakan pelanggan tetap sejak 10 tahun lalu dan membeli 300 biji telur Gred B setiap dua hari sekali,” katanya.

Berita berkaitan: Pengguna resah rak telur ayam kosong

Luahan sama turut disuarakan peniaga gerai char kuetiau yang mahu dikenali sebagai Azira, 34, apabila dia terpaksa pergi ke beberapa premis bagi mendapatkan lima papan telur ayam.

“Harga bagi sepapan telur ayam Gred B dijual sehingga RM13 dan kami hanya boleh beli dua papan sahaja.

“Disebabkan itu, saya terpak­sa mencari stok di tiga lagi buah kedai termasuk pasar raya untuk cukupkan bekalan harian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azira berkata, dia kini tidak sanggup lagi berdepan kenaikan harga bara­ngan keperluan yang naik mendadak sejak pertengahan bulan ini sehingga memaksanya me­naikkan jualan char kuetiau RM1.

Berita berkaitan: Telur gred C, D jadi pilihan pengguna

Sementara itu di Johor, Pemilik Restoran G’Sinar, Azizan Che Harun memberitahu, ada kala­nya dia terpaksa memba­talkan pesanan pelanggan yang memesan hidangan berasaskan telur.

Katanya, masalah ini berlarutan sejak akhir Disember tahun lalu dan paling ketara menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

“Saya berniaga makanan masakan panas, tomyam dan sebagainya dan telur antara bahan utama.

“Biasa saya tambah bekalan bahan mentah seminggu sekali, saya sudah pergi beberapa pasar raya berdekatan, kebanyakan rak jualan kosong.

“Kadang-kadang kami terpak­sa beritahu pelanggan yang membuat pesanan berasas telur, kami terpaksa tolak sebab telur tak ada,” ujarnya.

Sementara itu, di Perak, seorang penjual mi rebus, Moha­mad Hafizi Mohd. Said, 32, berkata, dia tertekan apabila terpaksa pergi ke beberapa premis demi mendapatkan bekalan bahan asas itu.

“Kedai berhampiran rumah semua tiada bekalan, kena pergi kedai jauh, duit minyak pun kos juga. Bila kos barang naik, kuranglah sikit keuntungan, naik harga pe­langgan lari pula,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI