fbpx

JPNP tumpas perlombongan bijih besi haram di hutan simpan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah jengkaut yang ditemukan di Hutan Simpan Ibam disita kerana dipercayai digunakan dalam aktiviti perlombongan bijih besi secara haram di Muadzam Shah, Rompin.

ROMPIN – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menumpaskan aktiviti melombong bijih besi secara haram selepas melakukan serbuan di kompartmen 86 Hutan Simpan Ibam dekat Muadzam Shah di sini semalam.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menyita sebuah jengkaut yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut.

“Kita percaya jengkaut itu digunakan untuk mengangkat ketulan batu ke atas lori untuk dipindahkan ke kawasan lain sebelum melalui proses seterusnya.

“Beberapa lubang bersaiz sederhana turut ditemui di kawasan terbabit yang dipercayai bekas kesan ketulan batu yang diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk diproses,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nor Azirim, kes itu disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan usaha mengesan dalangnya sedang giat dilakukan.

Kejayaan serbuan itu merupakan kes pertama tahun ini yang membabitkan kegiatan melombong bijih besi dalam hutan simpan yang dilakukan secara haram.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan, tindakan undang-undang akan dikenakan bagi setiap kesalahan dilakukan.

“Saya berharap semua pihak dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui kegiatan menceroboh hutan simpan dan memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI