LONDON – Watford mengesahkan bahawa mereka telah melantik Roy Hodgson sebagai pengurus baharu pasukan itu menggantikan Claudio Ranieri yang dipecat.
Pelantikan Hodgson dianggap cukup penting buat Watford untuk membawa pasukan itu kembali ke prestasi sebenar dalam usaha untuk keluar dari zon penyingkiran selepas mereka menduduki tangga kedua tercorot ketika ini.
Pengurus berusia 74 tahun itu dijanjikan bonus dengan nilai tujuh angka selain bakal menikmati gaji yang lumayan sekiranya berjaya menyelamatkan Watford daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.
Hodgson tiba di Watford London Colney yang menjadi pusat latihan pasukan berkenaan dengan melengkapkan kontrak selama enam bulan bersama pasukan berkenaan dan lanjutan perjanjian ataupun kontrak kekal hanya akan dibincangkan pada musim panas nanti.
“Watford dengan penuh rasa bangga mengumumkan pelantikan Roy Hodgson sebagai pengurus baharu kelab ini.
“Bekas pengendali England ini akan turut ditemani oleh pembantu kepercayaannya, Ray Lewington yang pernah menguruskan Watford pada musim 2002 hingga 2005.
“Hodgson dan Lewington memulakan persiapan dalam kadar segera ketika saingan berehat untuk tempoh hampir dua minggu sebelum kami akan turun menentang Burnley pada 6 Februari ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab berkenaan. – AGENSI