PETALING JAYA – Tindakan dua pelajar membuat kandungan video berkaitan satu pasangan yang datang farmasi untuk membeli pil pencegah kehamilan atau pil Postinor mengundang kemarahan orang ramai.
Menerusi video berdurasi tujuh saat yang didedahkan pengguna Twitter, @glowinputaaa, dua gadis yang merupakan pelajar kolej kesihatan memuat naik video mengenai pasangan yang mahu membeli pil Postinor di TikTok.
Pengguna Twitter itu berkongsi perasaan kurang senang dengan tindakan dua pelajar itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika bertemu dengan ahli farmasi seperti mereka.
Susulan perkongsian itu, rata-rata orang ramai berpendapat perbuatan yang dilakukan pelajar tersebut melanggar etika sebagai pegawai perubatan kerana tidak semua yang membeli pil itu merupakan pasangan yang belum berkahwin.
“Orang yang sudah bertahun kerja (farmasi) pun tidak buat seperti ini. Kebanyakan mereka tidak kisah dengan individu yang membeli pil Postinor. Lagipun, mana awak tahu orang itu (pembeli) sudah kahwin atau belum? Sekarang ramai orang kahwin muda,” ujar @Otter.
“Orang dah kahwin pun makan pil mencegah kehamilan. Suami saya masuk farmasi beli pil. Jadinya lepas ini nak kena bawa masuk anak sekali ke baru tahu dah kahwin?” kata @teha.
“Masa berusia awal 20-an doktor suruh makan pil Postinor untuk dua minggu sebab ada ketulan. Saya memilih farmasi berlainan bangsa untuk membeli pil tersebut sebab nanti ada yang buat dosa kering,” ujar@haella_haella. – K! ONLINE