VERONA, Itali – Andrea Dovizioso mengakui bahawa dia enggan terburu-buru untuk membincangkan soal kontrak pada musim 2023 kerana mahu menilai prestasi pada musim ini bersama pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP.
Naib juara tiga kali MotoGP tersebut sebelum ini meninggalkan pasukan Ducati sebelum menyertai pasukan satelit Yamaha pada musim lalu dan sempat beraksi sebanyak lima pusingan.
Justeru, Dovizioso berkata, perjalanan kariernya selepas ini bergantung kepada prestasi sebelum memutuskan soal kontrak yang berakhir pada penghujung musim ini bersama pasukan RNF MotoGP.
“Semua berkait dengan keputusan perlumbaan. Jika kita berjaya meraih keputusan yang baik, saya rasa tiada masalah.
“Saya tidak mahu membincangkan soal kontrak pada tahun depan kerana saya tidak tahu apa yang saya ingin lakukan. Berkenaan soal kontrak bersama pasukan RNF nanti, saya hanya mahu kekal tenang.
“Tetapi, segalanya bergantung kepada keputusan. Bila anda raih keputusan terbaik dan laju pastinya anda gembira dengan keadaan tersebut, jika tidak, anda akan kecewa terutama di peringkat karier saya ketika ini,” katanya ketika majlis pelancaran pasukan di Verona pada Isnin lalu.
Ketua pasukan RNF Racing, Datuk Razlan Razali meletakkan sepenuh keyakinan kepada Dovizioso selain berharap pelumba Itali tersebut mampu berjuang untuk merebut gelaran kejuaraan pada 2022 nanti.
Bagaimanapun, Dovizioso enggan memberi komitmen sebagai pencabar kejuaraan selain mahu menilai keupayaan jentera bermula aksi pramusim di Sepang yang membuka tirai pada 5 dan 6 Februari ini.
“Saya fikir saingan akan menjadi sukar kerana kita tidak tahu keadaan jentera pada ketika ini dan juga persaingan pasukan lain. Apa-apa boleh berlaku dan tiada siapa yang tahu. Saya kini hanya mahu lakukan terbaik bermula pada aksi pramusim di Sepang nanti,” ujarnya. – AGENSI