PETALING JAYA – Bank Simpanan Nasional (BSN) meluluskan 22,887 permohonan bantuan BSN MyRinggit-i Banjir dengan nilai pinjaman lebih RM221 juta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, bantuan tersebut telah mendapat sambutan yang baik daripada mangsa banjir dan permohonan masih dibuka sehingga 31 Januari ini.
“Mereka yang terkesan akibat banjir boleh memohon dengan melengkapkan borang permohonan secara dalam talian melalui laman web BSN dan mengemukakan dokumen yang lengkap serta sahih.
“Dokumen tersebut adalah salinan kad pengenalan, salinan bil elektrik rumah yang terjejas dan surat pengesahan daripada Pegawai Daerah atau Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) atau laporan polis berkenaan rumah yang terjejas.
“Permohonan yang telah diterima sebelum 31 Januari 2022 akan diproses bagi meringankan beban kewangan mereka,” katanya.
Selain itu, jelasnya, pelanggan BSN masih boleh mendapatkan bantuan lain yang ditawarkan.
Ia termasuk penangguhan ansuran bulanan pembiayaan termasuk kemudahan pembiayaan atau pinjaman peribadi, perumahan, sewa beli dan kad kredit untuk pelanggan individu serta pembiayaan atau pinjaman kepada perusahaan mikro yang terkesan akibat banjir.