fbpx

Impian besar Ahmad Khairil bersama Sarawak United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD KHAIRIL (kanan) berlatih bersama rakan-rakan sepasukan dalam usaha menyelamatkan kariernya dengan Sarawak United. – FB SARAWAK UNITED

BEKAS pemain tengah Harimau Malaya, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri berharap penghijrahan ke kelab Liga Super, Sarawak United dapat menghidupkan kembali kariernya dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Sebagai rekod, musim 2021 dianggap sebagai tahun yang agak mengecewakan buat pemain yang lebih mesra dengan gelaran Beto kerana gagal mempamerkan aksi diharapkan bersama pasukan Petaling Jaya City (PJ City).

Kata Beto, ruang yang diberikan oleh skuad kendalian E. Elavarasan sukar untuk dilepaskan dan penghargaan penuh diberikan kepada pengurusan Kenyalang Emas kerana menaruhkan kepercayaan tinggi kepadanya musim ini.

“Pada musim lalu bersama PJ City, mungkin ada pemain yang lebih bagus di posisi tengah atau corak permainan saya tidak begitu masuk dengan corak taktikal pasukan menjadikan sukar untuk saya beraksi.

“Tidak dinafikan akibat kurang bermain dalam tempoh beberapa musim terakhir ini termasuk semasa di Perak, keyakinan saya sedikit sebanyak rasa terjejas.

“Namun, semangat untuk saya berjuang bagi mendapatkan kembali rentak seperti dahulu masih belum hilang dan selagi ada peluang, saya sama sekali tidak akan berputus asa.

“Jadi, saya hadir ke Sarawak United adalah ingin membuktikan semula siapa diri saya dan anggap ini sebagai peluang kedua dalam karier.

“Ucapan terima kasih kepada Elavarasan serta B. Satianathan (pengarah teknikal) yang masih percaya dengan kemampuan serta bakat saya untuk membantu pasukan musim ini,” kata pemain berusia 27 tahun itu.

Beto sebelum ini dianggap antara pemain muda berbakat negara sehingga mendapat panggilan skuad Harimau Malaya pada tahun 2017 untuk mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI