PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dilantik sebagai Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung Parti PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Majlis Tertinggi sebulat suara bersetuju untuk melantik beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu.
“Selain itu, pihak mesyuarat turut bersetuju untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub sebagai Pengerusi Perikatan Nasional negeri Melaka yang baharu.
Kedua-dua pelantikan tersebut berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Majlis Tertinggi Parti PN telah bermesyuarat semalam dihadiri oleh wakil-wakil daripada semua parti anggota iaitu Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Mesyuarat tersebut telah berbincang secara mendalam mengenai situasi politik semasa, khususnya berhubung kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang. – K! ONLINE