fbpx

Zii Jia lega bergelar pemain profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA dan keluarganya sempat bergambar dengan Mohamad Norza selepas melakukan perbincangan dari hati ke hati semalam. – FB @ziijialee

SELEPAS mendapat restu Presi­den Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia akhir­nya merealisasikan hasrat untuk bergelar pemain profesional.

Juara kejohanan badminton Seluruh England (All England) itu menyatakan kegembiraan apabila kemelut yang berlaku antara dia dan badan induk sukan badminton negara itu boleh dianggap selesai.

Selepas mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama Mohamad Norza, akhirnya kata putus berjaya dicapai apabila Zii Jia mendapat restu untuk berge­rak secara profesional.

“Saya gembira untuk berbincang secara peribadi bersama Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza yang turut dihadiri oleh ibu bapa saya. Saya gembira ke­rana isu ini sudah dapat diselesaikan selepas menerima restu Tan Sri untuk menjadi pemain profesional.

“Pencapaian lalu serta masa depan saya selepas ini adalah hasil daripada tunjuk ajar Tan Sri Mohamad Norza, BAM dan Malaysia. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat kepada negara,” katanya menerusi status yang dimuat naik di laman media sosial Facebook semalam.

Pada masa sama, Zii Jia juga membawa khabar gembira apabila dia sedia untuk memberikan komitmen kepada skuad badminton negara menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAC) 15 hingga 20 Februari depan.

“Saya juga akan memberikan komitmen sepenuhnya kepada pasukan negara untuk beraksi pada Kejohanan Berpasukan Asia nanti. Saya sentiasa mahu bermain untuk negara tercinta,” ujarnya.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu turut menggesa semua pihak agar terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada BAM serta pemain-­pemain profesional yang berkembang di bawah badan induk itu.

“Teruskan memberi sokongan kepada BAM dan pemain-pemain profesional yang pernah berada di bawah naungan BAM sebelum ini. Apa pun yang berlaku, kita sentiasa bersatu,” tambah Zii Jia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI