TANJUNG MALIM – Seekor ular sawa batik yang baru selesai membaham seekor kambing berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Tengah Kuala Slim dekat sini, pagi tadi.
Reptilia seberat 70 kilogram (kg) dengan panjang tujuh meter itu dijumpai di dalam kandang kambing pada pukul 10.57 pagi.
Pegawai APM Daerah Muallim, Kapten Shahrizal Hussin berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menangkap reptilia itu menggunakan peralatan khas.
“Pemilik kandang kambing itu memaklumkan dia ternampak reptilia tersebut berada dalam kandang sebelum bertindak menghubungi APM.
“Anggota mengambil masa kira-kira 30 minit bagi menangkap ular itu yang dipercayai sedang kekenyangan setelah membaham seekor kambing,” katanya di sini hari ini.-K! ONLINE