BATU GAJAH – Tiada isu lambakan rumah tidak terjual di negeri ini meskipun sektor hartanah negara terjejas ekoran pandemik Covid-19.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, aktiviti jualan rumah yang mengalami kelembapan sebelum ini kembali rancak dengan beberapa projek perumahan yang dibangunkan mendapat tempahan tinggi pembeli.
Malah katanya, sasaran kerajaan negeri untuk membina sebanyak 50,000 unit rumah mampu milik menjelang 2025 juga berjalan seperti biasa.
“Sebelum pandemik Covid-19, aktiviti penjualan rumah berjalan seperti biasa namun ketika krisis itu melanda, sektor hartanah dilihat agak terencat.
“Bagaimanapun, keadaan kembali pulih apabila beberapa projek perumahan yang dilaksanakan di negeri ini laris terjual. Jadi, tiada isu lambakan rumah tidak dijual di Perak.
“Persediaan kita ke arah 50,000 unit rumah mampu milik juga berjalan seperti biasa dengan keyakinan memang ada permintaan daripada pembeli,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek Bandar Tasik Idaman (Spanish Garden by The Water) di sini hari ini.-K! ONLINE