ALOR GAJAH – Seramai 4,000 pembeli rumah mampu milik menerusi Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang berdepan dengan isu ‘rumah sakit’ dijangka diberikan kemudahan moratorium selama enam bulan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penangguhan bayaran semula itu membabitkan kelewatan pembinaan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan (PR1MA) Projek Rumah 1Malaysia.
Katanya, pihaknya telah menyenaraikan sebanyak 4,000 nama pembeli rumah PPAM serta PR1MA menerusi LPPSA yang mengalami kelewatan pembinaan rumah untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan bagi kemudahan moratorium.
“Tempoh pembinaan, kalau rumah teres 24 bulan, strata selalunya 36 bulan sehingga 60 bulan mengikut skala magnitud pembinaanya tetapi kalau LPPSA siap atau tidak dia akan caj, ada kalangan pembeli yang guna LPPSA untuk duduk rumah PR1MA.
“Jadi, saya telah hantar nama-nama pembeli di bawah LPPSA ini kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz minta supaya diberikan moratorium kerana ini bukan pilihan mereka sebaliknya berlaku kerana projek lewat siap, bank lain semua telah meluluskannya, LPPSA sahaja belum,”katanya. – K! ONLINE.