SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan pembangunan 12 projek hartanah baharu dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM690 juta bagi tahun 2022.
Ia melibatkan empat projek di Kota Puteri, tiga di Bernam Jaya, dua di Shah Alam dan masing-masing satu di Antara Gapi dan Selangor Cyber Valley dengan harga jualan bermula RM400,000 seunit.
Kesemua 12 projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, dengan saiz simpanan tanah sebanyak 5,972.04 ekar (2,416 hektar), terdapat peluang untuk pertumbuhan dengan gabungan pembangunan yang dipadankan dengan permintaan pasaran baharu.
Menurutnya, komposisi tanah PKNS mewakili 44 peratus bagi pembangunan komersial, 13 peratus kediaman dan 43 peratus pembangunan campuran, dengan kawasan terbesar ialah di Klang, Bernam Jaya dan Hulu Langat.
“PKNS telah menetapkan sasaran tinggi untuk mencapai jualan kediaman kira-kira RM584 juta bagi tahun 2022 menerusi strategi jualan pemberian diskaun bagi projek baharu untuk pembeli Bumiputera dan bukan Bumiputera.
“Memanfaatkan kekuatan portfolio hartanah yang terdiri daripada lebih 160,000 rumah yang dibina di tanah seluas 64,500 ekar (26,102 hektar) dan pembangunan perindustrian seluas 11,885 ekar (4,809 hektar), PKNS yakin mampu mencapai sasaran nilai yang lebih besar untuk negeri, masyarakat dan pihak berkepentingan,” katanya pada sesi pembentangan Unjuran PKNS 2022 di Ibu Pejabat PKNS, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi, Suhaimi Kasdon dan Ketua Pegawai Teknikal, Md. Kamarzan Md. Rais.
Mengulas lanjut, Mahmud memberitahu, PKNS turut melakukan perubahan besar dalam strategi pemasaran dengan menambah jumlah galeri jualan sedia ada termasuk satu di ibu pejabat PKNS selain di tapak projek.
“Memandangkan pandemik Covid-19, banyak produk jualan yang tidak dapat dijual dan menerusi strategi pemasaran yang dirangka, kami akan membina lebih daripada lima buah galeri jualan pada tahun ini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, PKNS turut memberi fokus terhadap pembangunan usahawan menerusi capaian program keusahawanan sedia ada iaitu Graduate Realizing Opportunities Way Forward (GROW) yang turut dikenali sebagai Program Usahawan Siswazah PKNS, selain Program Tunas Niaga Negeri Selangor (PROTUNe).
“Program ini menyasarkan golongan usahawan siswazah dan pelajar sekolah menengah dengan matlamat untuk memupuk keusahawanan dan melahirkan usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju di negeri ini,” ujarnya. – K! ONLINE