PETALING JAYA – Seorang pemilik rumah terpaksa mengusir penyewanya selepas mendapati sebuah bilik di tingkat atas yang disewa kepada individu lain terlalu kotor termasuk penemuan air kencing yang disimpan di dalam botol.
Berdasarkan video berdurasi 17 saat dikongsikan di aplikasi Tiktok, @amirulrizalmaruhan berkongsi gambar keadaan bilik sebelum dan selepas disewakan untuk dibuat perbandingan.
Selain air kencing, terdapat longgokan sampah dan ikan yang telah membusuk di dalam bilik berkenaan.
Menurut Amirul, dia menerima banyak aduan daripada penyewa yang lain mengenai masalah tersebut.
Penyewa yang lain memberitahu mereka tidak pernah melihat individu yang menyewa bilik tersebut masuk ke dalam bilik air untuk mandi atau ke dapur untuk memasak kecuali ketika lelaki itu keluar mencuci kereta.
“Penyewa itu berasal dari Pantai Timur, mempunyai kerjaya yang bagus dan kenderaan pun bukan biasa-biasa. Penampilannya sentiasa kemas dan tak pernah culas membayar sewa, saya tak sangka pula bilik dia jadi macam tu,” katanya.
Susulan perkongsian itu, rata-rata orang ramai melahirkan rasa terkejut kerana masih ada lagi individu yang tinggal dalam persekitaran yang kotor.
“Allahuakbar, saya ni pun pemalas juga tapi keadaan rumah saya tidaklah seperti tempat pembuangan sampah,” oleh @misniwatijahar.
“Saya pun pernah dapat penyewa seperti ini. Allahuakbar tak tahu nak cakap macam mana, yang pernah mengalami yang tahu perasaan (kecewa) macam mana,” jelas @AbamTemerlove. – K! ONLINE