KOTA BHARU – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar taktik penyeludup yang menjadikan kawasan Pantai Cahaya Bulan (PCB) sebagai lokasi untuk mendaratkan rokok seludup selepas merampas sebanyak 11,000 karton rokok putih dianggarkan bernilai RM2.7 juta termasuk cukai semalam.
Rokok-rokok yang diseludup menggunakan bot nelayan itu kemudian diangkut menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero sebelum barangan seludup berkenaan ditinggalkan di kawasan semak di Kampung Lundang Paku, Nilam Puri.
Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, anggota PGA melihat dua buah kenderaan itu dipandu dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di sekitar PCB selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan di kawasan itu pada pukul 3.30 pagi.
Menurutnya, selepas hampir 15 kilometer bergerak, pemandu kedua-dua kenderaan itu menyedari mereka diekori anggota PGA semasa tiba di Jalan Salor Lama di sini.
“Kedua-dua lelaki itu kemudian bertindak memecut laju kenderaan dipandu mereka menuju ke Kampung Lundang Paku. Semasa mengejar suspek, kedua-dua kenderaan itu tiba-tiba hilang jejak sebelum menemui kesan tayar kenderaan di kawasan semak kira-kira 30 minit kemudian.
“Berpandukan kesan tayar itu, anggota PGA berjaya menemui sebanyak 220 bungkusan yang telah ditinggalkan di kawasan tersebut. Pemeriksaan di dalam bungkusan itu telah membawa kepada penemuan sebanyak 11,000 karton rokok putih yang dianggarkan bernilai RM1.1 juta tanpa cukai,” katanya pada sidang akhbar di Markas Batalion 8 PGA di Pengkalan Chepa di sini hari ini.-K! ONLINE