JAKARTA – Badan Kehakiman Indonesia berdepan kritikan hebat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas menjatuhkan hukuman penjara hanya 10 tahun terhadap seorang pesalah jenayah serangan seksual, lapor stesen penyiaran Al Jazeera kelmarin.
Tertuduh, Benyamin Sitepu yang merupakan paderi dan pengetua Sekolah Galilea Hosana, Medan didakwa melakukan serangan seksual ke atas enam pelajar perempuan di bawah seliaannya yang ketika kejadian, berumur 13 tahun..
Serangan itu didakwa berlaku pada tahun lalu.
Mahkamah bersetuju untuk tidak mengenakan hukuman maksimum kerana tertuduh telah memohon maaf atas perbuatannya dan menandatangani perjanjian penyelesaian dengan dua keluarga yang terlibat.
Keluarga mangsa lain sangat kecewa dengan hukuman tersebut yang dianggap ringan dan tidak sepadan dengan jenayah yang dilakukan ke atas anak-anak mereka.
“Jika orang melakukan jenayah ini tertakluk di bawah panji gereja, maka gereja perlu memohon maaf,” kata seorang peguam hak asasi manusia yang mewakili sebahagian daripada keluarga mangsa.
Beliau percaya bahawa mahkamah di Indonesia tidak bersedia untuk mengutuk pemimpin agama atau menjatuhkan hukuman penjara yang lama kerana mengikut kebiasaannya, orang yang mempunyai kedudukan dalam agama adalah dihormati.
Kes serangan seksual itu terbongkar selepas enam pelajar perempuan tampil selepas salah seorang daripada mereka memaklumkan kepada datuk dan neneknya bahawa dia menjadi mangsa paderi itu pada Mac tahun lalu. – Agensi