PETALING JAYA – Malaysian Recycling Alliance (Marea) telah mengenal pasti kawasan liputan utama di seluruh negara bagi melaksanakan skim kutipan dan kitar semula perintis yang boleh diperluas pada tahun ini.
Pengerusinya, Juan Aranols berkata, menerusi usaha tersebut, Marea akan bekerjasama dengan pemegang konsesi pengurusan sisa dan pengutipan sampah di seluruh negara dan juga pengitar semula lain yang mengumpulkan bahan pembungkusan pasca pengguna.
“Pemuliharaan alam sekitar harus diutamakan, kita perlu melindungi sumber alam dan memulihara biodiversiti dan ekosistem yang menyokong sebahagian besar masyarakat.
“Sisa plastik merupakan cabaran alam sekitar yang penting dan menimbulkan ancaman di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis sambutan ulang tahun pertamanya baru-baru ini.
Marea merupakan badan sukarela bukan keuntungan pimpinan industri yang disertai oleh 10 syarikat.
Antaranya adalah Coca-Cola Malaysia, Dutch Lady Milk Industries, Etika Group of Companies, Fraser & Neave Malaysia, Nestlé Malaysia, Spritzer, Tetra Pak Malaysia dan Unilever Malaysia
Selain itu, Aranols yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia menjelaskan, badan tersebut bertekad untuk mengitar semula sekurang-kurangnya 25 peratus daripada jumlah pembungkusan ahli-ahlinya menjelang tahun 2025.
Tambah beliau, pada peringkat permulaan, Marea akan memberi tumpuan terhadap usaha mengutip, mengasing dan mengitar semula bahan-bahan pembungkusan pasca pengguna seperti botol polietilena tereftalat (PET), kotak minuman terpakai (UBC), pek polietilena kepadatan tinggi (HDPE) dan pembungkusan plastik fleksibel.