SERI ISKANDAR – Malang menimpa seorang lelaki apabila kaki kanannya terperosok pada jeriji besi penutup longkang dalam kejadian di Kampung Selat di sini malam ini.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.09 malam.
Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu.
“Setiba di tempat kejadian, anggota bomba menemui mangsa seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun yang kaki kanannya terperosok pada jeriji besi penutup longkang.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa melalui kawasan tersebut hendak ke kedai runcit berhampiran,” ujar jurucakap tersebut.
Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas untuk memotong jeriji penutup longkang sebelum berjaya mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.
Mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh petugas perubatan.
Operasi yang diketuai PBK II Nor Khairul Luqman Khasim tamat sepenuhnya pada pukul 8.30 malam. K! ONLINE