PETALING JAYA – Individu yang mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan produk-produk pelangsingan yang dijual di media sosial.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologist, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar sebaliknya berkata, individu berkenaan perlu merujuk masalah kesihatan mereka kepada doktor yang bertauliah atau fasiliti kesihatan yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
Kata Zainal Ariffin, ketika ini terdapat ratusan produk pelangsingan yang dijual terutamanya di kedai tidak berdaftar dan secara dalam talian.
Namun katanya, kebanyakan ubat itu tidak berdaftar dengan KKM dan bahan yang digunakan juga adalah diragui serta berisiko kepada pengguna.
Berita berkaitan: 6.9 juta wanita Malaysia gemuk
“Jangan mudah percaya kepada ubat pelangsingan yang dijual di kedai dan kini sedang berleluasa dalam talian. Kita tidak tahu apa kandungannya dan kebanyakan produk ini tidak mempunyai kelulusan KKM.
“Saranan saya, kepada mereka yang mengalami masalah obesiti, sila rujuk kepada doktor atau pakar yang bertauliah dengan KKM,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai 6.9 juta wanita di negara ini mengalami masalah obesiti dan berisiko menghidapi penyakit tiga serangkai.
Berita berkaitan: ‘Biar gemuk asal ada keyakinan diri’
Tambah Zainal Ariffin, terdapat pelbagai penyakit kronik yang bakal ‘menunggu’ sekiranya individu salah mengambil ubat atau bahan yang tidak disyorkan oleh agensi bertauliah seperti KKM.
Mengulas lanjut Zainal berkata, selain pembedahan, terdapat beberapa lagi cara yang boleh diamalkan untuk mengurangkan berat badan serta ingin kekal berat badan ideal.