GEORGE TOWN – Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) di sini yang merupakan jalan raya tertinggi negara ini semakin menjadi tumpuan orang ramai sejak mula dibuka kepada kenderaan pada 13 Januari lalu.
Rata-rata pengguna sanggup merentasi laluan berbukit semata-mata mahu mengabadikan kenangan dengan bergambar di satu laluan yang berketinggian 61.5 meter (m).
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, laluan merentasi kawasan berbukit itu dipenuhi dengan kenderaan dan kumpulan bermotosikal di sepanjang jalan menghala ke Balik Pulau dan Paya Terubong di sini.
Pengunjung dilihat merakam gambar kenangan yang berlatarbelakangkan panaroma indah kawasan berbukit dari sudut atas jalan berkenaan.
Seorang pengunjung dari Kuala Terengganu, Shukor Long, 64, berkata, kedatangannya ke situ semata-mata mahu mengambil peluang merasai pengalaman menggunakan jalan raya baharu itu sambil bercuti.
Menurutnya, dia sanggup meredah kesesakan jalan raya dari pusat bandar raya George Town hampir dua jam sebelum tiba di laluan sepanjang 3.8 kilometer (km) itu.
“Orang ramai dilihat memberhentikan kereta di bahu jalan dan berdiri di tepi penghadang jalan raya. Mereka memenuhi sepanjang laluan paling tinggi di situ.
“Ini merupakan lokasi paling sesuai untuk melihat pemandangan sebahagian negeri Pulau Pinang selain cuacanya sejuk dan berangin pada waktu malam,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi pengunjung dari Kuala Lumpur, Ashraf Ahmad, 43, pula memberitahu, kehadirannya ke negeri ini bukan sekadar menikmati makanan popular nasi kandar, malah destinasi serta lokasi menarik yang terdapat di Pulau Mutiara.
“Jalan raya tertinggi ini antara lokasi utama kunjungan kami sepanjang tiga hari bercuti di sini. Ini adalah tempat pertama yang dilawati sebelum mendaftar masuk ke sebuah hotel di Batu Ferringhi.
“Sebelum ini, kami hanya melihat gambar-gambar yang dikongsi netizen menerusi media sosial. Memang amat teruja biarpun laluannya terlalu singkat,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa perlu meningkatan pemantauan di lokasi itu terutama pada petang dan malam.
“Malangnya kawasan ini juga mula menjadi tempat pembuangan sisa makanan, kotak dan tin minuman,” ujarnya.
Projek Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) bernilai RM378.2 juta itu dibina bagi menampung perkembangan pesat negeri itu berikutan pertambahan jumlah trafik di kawasan berkenaan.