fbpx

Hanya pembalakan ‘terancang’ baik untuk harimau – WWF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Tabung Hidupan Liar (WWF) menjelaskan pembalakan baik untuk harimau hanyalah membabitkan pembalakan terancang yang hanya menebang sebilangan pokok tertentu setiap tahun dalam petak hutan selaras dengan amalan Pengurusan Hutan Lestari (SFM).

WWF dalam satu kenyataan berkata, kajian itu telah diterbitkan oleh pihak WWF pada 2009 yang bertajuk, ‘Kepentingan hutan balak terpilih untuk pemuliharaan harimau Panthera Tigris: Anggaran kepadatan penduduk di Semenanjung Malaysia’ oleh D Mark Rayan dan Shariff Wan Mohamad bagi memahami tentang keadaan kepadatan harimau khususnya di hutan balak.

“Kajian 2009 mendapati, anggaran kepadatan 2.59 harimau dewasa adalah bagi setiap 100 kilometer (km) persegi. Ini menunjukkan bahawa hutan ditebang secara terancang, seperti Hutan Simpan Gunung Basor, berpotensi untuk menampung kepadatan harimau yang tinggi.

“Kajian itu menyimpulkan bahawa penyelidikan lanjut amat diperlukan untuk memahami ekologi harimau dan mangsanya di hutan yang dibalak secara terancang.

“Ini untuk memastikan garis panduan pengurusan mesra harimau boleh disyorkan untuk Pengurusan Hutan Lestari (SFM), sekali gus dapat menyumbang secara signifikan kepada pemuliharaan harimau di negara ini.

“Kami percaya bahawa hutan yang bersih dan tidak terganggu adalah habitat yang sesuai untuk harimau. Kawasan perlindungan dalam bentuk perlindungan hidupan liar dan taman negara adalah perlu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) mendakwa aktiviti pembalakan di negeri berkenaan tidak menjejaskan populasi harimau.

Menurut pengarahnya, Abdul Khalim Abu Samah, proses itu sebaliknya baik untuk pertambahan populasi berpandukan kepada kajian yang dibuat oleh seorang pakar dari Sarawak.

Dalam pada itu, WWF berkata, adalah penting untuk membezakan SFM yang mematuhi prinsip kemampanan daripada pembalakan konvensional apabila pembalakan sembarangan berlaku.

“Pembalakan sembarangan inilah yang membawa kepada kemerosotan hutan dan akhirnya penebangan hutan, apabila hutan sudah kehilangan fungsi dan nilainya, oleh itu ia akan ditukar kepada penggunaan tanah lain.

“Walaupun SFM mengekalkan integriti dan fungsi hutan, namun hutan yang terdegradasi tidak baik untuk biodiversiti dan hanya spesies generalis yang dapat menyesuaikan diri dengannya, seperti kucing harimau bintang dan musang sawit,” katanya.

Justeru, kerja pemuliharaan harimau WWF terdiri daripada beberapa komponen, yang kesemuanya direka untuk mengurangkan ancaman terhadap harimau dan hidupan liar lain yang hidup dalam landskap sama.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI