SELAMA 14 tahun bergelar anak seni, tempoh tersebut disifatkan sebagai fasa yang cukup mematangkan buat Stacy. Perasaan tersebut antara yang dialami penyanyi kelahiran Sabah itu menerusi single baharunya, Duit.
Katanya, lagu berjudul Duit menceritakan kisah sebenar siapa dirinya sejak kecil sehinggalah menemui satu kehidupan yang sangat bermakna di sisi suami tercinta, Akim Ahmad.
“Biarpun sudah hampir 14 tahun bergelar penyanyi, saya berasakan lagu ini pengenalan untuk saya memperkenalkan kehidupan dan siapa saya kepada orang ramai, memandangkan sekarang saya sudah boleh buat lagu dan tulis lirik sendiri.
“Jadi, lebih membuka peluang dan ruang kepada saya untuk bercerita siapa saya sebenarnya.
“Jadi lagu Duit memang mengenai saya. Dari segi gaya, ‘vibes’ karakter macam lagu terdahulu, tetapi lirik mengenai saya,” jelas Stacy mengenai single baharunya.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, tiada lagi istilah mahu bereksperimen, sebaliknya, ingin terus membuktikan kemampuan yang ada dalam diri.
“Siapa kenal dan mengikuti latar belakang hidup dan perwatakan saya, akan faham.
“Lagu ini terinspirasi daripada itu, sekali gus tercetusnya idea penulisan lirik lagu ini yang mana lebih bercerita mengenai kehidupan saya.
“Lirik ini menceritakan antara pesanan yang selalu saya dengar semasa kecil lagi.
“Bekalan ilmu, semangat dalam menempuh kehidupan dan tentang ajaran daripada orang tua.
“Dalam masa sama, duit ini boleh tukar mata seseorang dari tak suka kepada suka.
“Daripada duit juga terhasilnya cerita, asal saja kita tahu sendiri apa di sebalik cara mendapatkan duit,” katanya.
Masa lampau
Tahun lalu, wanita asal Sabah itu pernah membuat pendedahan mengenai kehidupan lampaunya umpama tiada agama, sebelum dipertemukan dengan suami yang juga rakan seperjuangan dalam Akademi Fantasia.
Selepas enam tahun mengenali Islam, Stacy mengucap kalimah syahadah pada 24 Ogos 2015 seterusnya bertunang sebulan kemudian, disusuli pernikahan pada 5 Februari 2016.
Rumah tangga pasangan popular itu diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata, Bella De Luna Valentina, 9, dan Eshaal Afiq Hakim, 5.
Menerusi Duit, Stacy atau nama sebenar Ummu Shaikhah Stacy Anam, 32, yang menggunakan nama Bunga Cantik sebagai nama pena turut bertindak sebagai komposer bersama selain menulis seni kata lagu Duit ini.
Katanya, secara tidak langsung ilham 100 peratus lirik daripadanya sendiri membuka ruang kepadanya untuk menyerlahkan karakter dari segi nuansa lagu mahu pun aura peribadi.
“Kalau Aku Stacy lebih kepada karakter yang saya sampaikan, tapi kali ini sangat berbeza memandangkan segala pengisian sama ada melodi mahu pun seni kata adalah cetusan idea saya sendiri.
“Boleh dikatakan Duit lahir dari hati saya membuatkan saya lebih menjiwai sepanjang sesi rakaman apatah lagi lagu ini menyentuh momen paling dalam kehidupan saya suatu masa lalu,” kata ibu penyanyi berusia 32 tahun itu.
AJL36
Malah katanya, pembabitan insan paling penting dalam kehidupan dan kerjaya iaitu suaminya sendiri banyak membawa pengaruh besar terhadap keseluruhan karya selain menyuntik aneka warna.
Kongsi Stacy lagi, kejayaan lagu ciptaannya bersama Akim iaitu Cinta nyanyian Marsha yang layak ke Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) sedikit sebanyak membakar semangatnya melancarkan Duit.
“Lagu ini boleh dikatakan bergenre rock & roll pop dan pada masa sama lebih cenderung kepada unsur tarian tapi tak berat. Saya panggil ‘rock dance’. Lagu ini rancak, bukan lagu balada.
“Pembabitan Akim membawa bersama irama rock & roll sebagai suntikan yang kemudian digabungkan hingga menjadi gabungan muzik kami, manakala sentuhan Koh membias eleman segar.
“Sebenarnya lagu ini disempurnakan September tahun lalu tetapi kami terbitkan dahulu lagu lain kerana Akim selalu ingatkan supaya jangan fikir mahu kemenangan saja kalau keluarkan produk baharu.
“Dari dahulu lagi kami memang main buat dan keluarkan saja.
“Katanya jangan terlalu fikir pendapat orang baru kita bersemangat. Jadi apabila Akim memperkenalkan saya sebagai komposer dan penulis lirik, kami punya tujuan lebih daripada mahu berkarya.
“Jika lagu mampu pergi jauh, itu rezeki macam lagu Cinta nyanyian Marsha yang kami tak pernah jangka mara ke AJL.
“Hakikatnya, kemaraan Cinta ke pentas akhir AJL juga adalah usaha Marsha ketika membawakannya secara langsung,” tutup Stacy.